September 18, 2009

PerUtusaN AidilFitrI 1430



Assalammualaikum
SeLaMaT HAri RaYA AidiLFitrI 1430 & MaaF ZahIR BaTiN
Sempena Aidilfitri yang akan tiba lebih kurang dua hari lagi,ana mengucapkan selamat hari raya kepada semua sahabat-sahabat dan pengunjung blog ini. Maafkan segala tutur kata jika ada yang terasa dan segala perbuatan yang menyakitkan hati samada ym, bercakap, tulisan atau sebagainya. Semuanya adalah hadir kerana kekhilafan diri sendiri. buat sahabat ana yang tidak dapat pulang ke kampung, jangan sedih-sedih, ana ada kt kuala lumpur ni. Jemput datang ke rumah.
Sebelum terlupa, ramadhan masih belum berakhir cuma tinggal di penghujungnya, masih sempat untuk kita perbanyakkan amalan. ambillah masa yang ada ini untuk menilai semula adakah kita dapat menjadi graduate yang bertaqwa selepas keluar daripada universiti tarbiyah ini. sama-sama kita muhasabah diri semula. Akhirul kalam,berdoalah kepadaNYA agar kita dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang. ameen
SaLam AiDilfiTri & SaLam KemenaNgan

September 16, 2009

Menutup Aurat utk ahli BADAR sahaja??

Assalammualaikum.....sudah lama tiada entry baru dihasilkan....
Apa yang mahu dibincangkan kali ini ialah pandangan skeptikal sesetengah mahasiswa tentang perkara-perkara asas dalam islam. Mahasiswa adalah golongan bijak pandai dalam semua aspek bukan sahaja akademik dan sepatutnya tidak wujud pandangan sebegini.

kisah sebenarnya bermula apabila seorang mahasiswa( lelaki muslim) mahu melihat urat di lengan sahabat ana (siswi) utk sesi ambil darah di makmal. sahabat ana mempertahankan untuk tidak menunjukkan uratnya. baginya ramai biarlah perempuan sahaja yg melihatnya dan tiada keperluan utk siswa tadi utk melihatnya. tetapi apa yang dibalas ialah kata-kata yang amat pedas tetapi ibarat tidak berilmu " ni bagi budak badar ni, dia nk cucuk". kata-kata sinis inilah ana katakan pandangan skeptikal sesetengah golongan terhadapa islam. adakah hanya budak BADAR shj yg kena tutup aurat? aurat itu siapa yang gariskan?.

inilah dia satu pandangan yg perlu kita ambil berat dan perbetulkan. ini hanyalah sekadar satu pengalaman daripada sahabat ana. bagaimana pula dengan bermacam-macam padangan terhadap islam diluar sana.

Komentar:Aurat wanita wajib untuk semua wanita beragama islam



"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."(surah annur;31)

Mereka hendaklah menghindarkan diri daripada memuaskan nafsu syahwat secara haram dan juga daripada membuka aurat mereka di hadapan orang lain. Walaupun perintah kepada lelaki adalah sama dengan wanita dalam hal ini, tetapi sempadan aurat untuk wanita adalah berbeza dari yang diperintahkan kepada lelaki.

Aurat seorang wanita terhadap lelaki ialah keseluruhan tubuh badannya kecuali tangan dan muka. Ia tidak boleh dibuka di hadapan lelaki lain. Wanita tidak dibenarkan memakai pakaian yang nipis atau yang ketat yang mengikut bentuk badan dan yang boleh menampakkan kulit. Menurut satu hadith dari A'ishah, pernah kakaknya Asma' datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan pakaian yang nipis. Rasulullah s.a.w. dengan segera memalingkan mukanya dan berkata:

"Wahai Asma', apabila seorang wanita telah baligh, dilarang membuka bahagian badannya kecuali muka dan tangan" (Abu Dawud)

Ibnu Jarir telah meriwayatkan peristiwa yang sama daripada kata kata A'ishah bahawa satu ketika anak perempuan Abdullah bin Tufail. datang menziarahinya. Apabila Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumah, baginda nampak perempuan itu tetapi memalingkan mukanya ke arah lain.

A'ishah berkata:

"Ya RasululLah, dia itu anak saudaraku". Lalu Rasuiullah s. a. w. pun berkata: Apabila wanfta itu sudah baligh haram baginya menampakkan badannya kecuali tangan dan muka". Kemudian baginda menunjukkan maksud tangan itu dengan menggenggam tangannya sendiri daripada pergetangan tangan supaya tidak ada bahagian lebar yang tertinggat antara pergelangannya dan tapak tangannya"


Semoga mereka ini lebih memahami bahawa batasan aurat wanita adalah undang-undang dari Allah Yang Maha Agung dan juga peringatan untuk diri sendiri- berwaspada apabila berkata-kata.Setiap perkataan dan perbuatan dinilai olehNYA dan dihitung di akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW "Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

Waallahua'alam

September 3, 2009

rAjA KeTaM


Assalammualaikum
Hati ini rasa serba salah dengan setiap amanah yang diberi. Gusar dan risau hari ini. Entah kenapa tiba-tiba perasaan muncul? Rasa memang tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi.Ya ALlLah ampunilah dosaku.
Kepimpinan melalui teladan. Entry ini saja ana postkan untuk bacaan semua walaupun hanya copy daripada web lain. Bagi yang belum baca dan yang sudah baca juga.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Raja Segala Ketam
www.iluvislam.com


“Apa definisi manusia?” Soalan itu memeranjatkan saya. Semenjak saya bersahabat dengan Raja Ketam, itulah soalan yang paling sukar untuk dijawab saya. Mengerti, saya perlu jujur dalam menjawab soalan itu, tidak tergamak saya untuk menipu walau pun dia seekor ketam. Saya berfikir dalam-dalam kerana mahu menyusun kata yang terbaik. Bayu laut menyusup dicelah kekosongan yang sengaja saya biarkan. Setiap hujung minggu, saya sentiasa di sini, di pantai berpasir perang keemasan di sisi Selat Bass supaya dapat saya bertemu dengan Raja Ketam. Lagi pun, Raja Ketam akan hanya di sini dalam tiga bulan musim panas ini, bila cuaca suam-suam memasuki musim luruh, dia hilang entah ke mana-mana. Mungkin memantau koloni-koloni lain yang berkampung di sekitar Tasmania. Dia tidak mungkin ke mana-mana kerana berdasarkan pengetahuan saya mereka ini bukanlah seperti Robin yang akan hilang terbang ke kawasan yang lebih panas apabila sejuk mula menguasai benua ini.

Kebiasaannya, kami berdua akan berdialog sementara ketam-ketam bilis sebesar penumbuk budak tanpa jemu berlatih berjalan betul di atas pantai yang saujana di hadapan kami. Mereka sangat taat. Barang kali bimbang dikepit Raja Ketam yang penyepitnya itu sahaja sudah sebesar betis saya. Mungkin juga mahu mengambil hati Raja Ketam walau pun arahannya itu kelihatan mustahil. Raja Ketam memang gemar menimbulkan polemik yang tidak masuk akal, itu, latihan berjalan dengan betul merupakan polisi Raja Ketam sejak dahulu lagi. Setiap ketam yang mahu damai di perairan Tasmania ini wajib tunduk kepada polisi itu, berlatih berjalan betul. Saya songsong bayu laut, bergerak ke hadapan sedikit dan sekarang saya tegun betul-betul di depan Raja Ketam.


“Bermaksud khalifah yang jahil. Lebih dungu daripada haiwan.” Raja Ketam terkejut. Dua matanya yang terpacak seperti tiang konkrit di atas tanah laterit itu digerak-gerakkanya seolah tidak percaya itu akan menjadi jawapan saya. Dia menanti dengan gelisah ayat yang mahu keluar dari mulut saya.

“Tuhan dah tawarkan amanah kepada semua makhluk, semua tak mahu kecuali manusia. Terima amanah kemudian pecah amanah. Definisi kedua, sedia dihumban ke dalam api.” Dia jadi makin gelisah. Tangannya yang banyak itu sekejap-sekejap menggaru dada pasir.

“Akal penyelamat, tapi malas berfikir, lalu buat benda yang bukan-bukan. Definisi ketiga akal adalah manusia, kalau tak guna itu bukan lagi manusia, malah akan jadi lebih teruk daripada haiwan ternak.” Kali ini Raja Ketam tidak bergerak, seolah-olah disumpah menjadi batu oleh patah-patah kata yang keluar dari mulut saya.

“Pesan Tuhan lupa, janji sebelum lahir lupa, lepas lahir tak ambil peduli, lepas mati minta lahir semula. Pesan orang lupa, pesan sesiapa pun lupa. Definisi keempat manusia adalah makhluk nyanyuk.” Sambung saya dengan lebih tegas.

“Sudah!” Jerit Raja Ketam. Kali ini Raja Ketam tidak dapat lagi menahan kegelisahan di hatinya. Barang kali dia tidak perasan yang jawapan-jawapan itu saya kutip daripada ayat-ayat Tuhan yang menempelak sikap buruk manusia. Mungkin juga kerana selama ini dia menganggap manusia makhluk istimewa. Pernah suatu hari, dia meminta saya untuk mencarikan dia seorang gadis cantik di kalangan manusia untuk dijadikan isterinya. Katanya dia sudah lama membujang. Saya tidak pernah memandang serius permintaannya kerana bagi saya itu permintaan yang tidak masuk akal. Mana mungkin manusia boleh berkahwin dengan ketam. Perkara seperti itu adalah mustahil untuk berlaku. Sering kali apabila dihadapkan dengan perkara-perkara mustahil, saya akan berfikir dahulu, mengapa perkara semustahil itu dibangkitkan di hadapan saya. Mungkin juga Raja Ketam hanya berseloroh dengan saya. Mungkin.

“Yang ingin aku tahu adalah kebaikan manusia? Kamu tidak punya contoh yang baik? Yang boleh aku guna untuk aku jadikan teladan?” Tanya Raja Ketam yang saya kira tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya tadi.

“Pernah dengar nama Muhammad Bin Abdullah?” Soal saya kepada Raja Ketam. Kali ini dia kelihatan teruja. Tangannya yang banyak itu diangkat-angkat seolah-olah mahu menari dengan saya.

“Pernah-pernah! Dia rahmat seluruh alam. Aku tak adalah jahil sangat.” Kata Raja Ketam dengan nada ceria. Seolah-olah anak kecil di hospital yang berada di bawah tanggungjawab saya ketika saya menghulurkan gula-gula kapas kepadanya semalam selepas dia dipaksa makan makanan hospital hampir tiga hari. “Terima kasih tuan doktor! Terima kasih!” Kata si cilik comel itu. “Raja Ketam ini boleh tahan juga ilmu agamanya.” Bisik saya dalam hati.

“Itu definisi manusia sempurna. Alim yang merendah diri. Pemimpin yang miskin. Hamba Tuhan yang kaya. Panglima perang yang berhati halus. Hakim yang keras keputusannya. Suami yang lembut pergaulannya. Itu definisi manusia sempurna.” Raja Ketam kelihatan puas dengan jawapan saya.

“Pemimpin seperti saya?” Tanya Raja Ketam. Saya tidak tahu untuk menjawab soalan tersebut. Besar kemungkinan kerana saya bukanlah ketam atau ikan yang hidup di perairan Tasmania lalu membolehkan saya melihat kepimpinan Raja Ketam luar dan dalam. Lalu saya mengambil keputusan untuk menjawab soalan itu secara umum.

“Setiap kita pemimpin. Setiap kita akan ditanya tentang kepimpinan kita. Tuan boleh jawab sendiri. Hebat kita kerana menjaga amanah. Kita akan ditanya tentang amanah. Oleh itu kita perlu jujur dengan pemberi amanah. Kalau kita silap, kita rela sahaja ditegur, baik secara kasar atau halus, pokoknya, amanah itu sentiasa terbela. Seperti Umar yang rela dibetulkan dengan pedang.” Saya pasti kisah Umar itu juga mesra dengan Raja Ketam. Dia senyap. Saya membisu. Lalu sekali lagi damai bayu dan ombak berpapasan dengan hangat perbincangan kami. Raja Ketam seolah-olah berfikir panjang.

“Terima kasih.” Ucapnya. Saya mengukir senyum. Perbincangan tadi merupakan perbincangan sulung kami mengenai perkara seserius itu. Dia kemudian saya lihat menyendeng perlahan menuju ke gigi air. Kemudian diikuti oleh ratusan ekor ketam bilis. Tidak pula sempat untuk saya bertanya, akan lagikah dia mahu mengajar ketam-ketam bilis itu berjalan betul pasca perbincangan kami tadi. Lalu saya mengambil keputusan untuk menjerit sahaja dari tempat saya berdiri kepadanya yang sudah sedia mencecah air.

“Oi! Kepimpinan melalui teladan.” Dia melambaikan tangannya yang banyak itu kepada saya sebelum dia hilang diarak ombak.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Wallahua'lam