July 26, 2008

ISLAM LIBERAL


Dari dahulu sehingga kini terdapat sebahagian umat Islam yang cenderung untuk mereka cipta bidaah-bidaah ke dalam agama Islam. Secara umumnya umat Islam kini dan bidaah yang mereka cipta boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah (728H):

“Bidaah itu ada dua jenis, yang pertama berkaitan dengan perkataan dan iktiqad, (yang kedua) berkaitan dengan perbuatan dan ibadah. Bidaah jenis yang kedua mencakupi jenis yang pertama sebagaimana bidaah jenis pertama akan mendorong kepada terjadinya jemis yang kedua.

Orang-orang yang berilmu, pemikir dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah akan terjerumus kedalam bidaah jenis yang pertama. Sedangkan orang yang rajin, beribadah, pemikir, berkemahuan keras dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bidaah jenis kedua”. – Majmu’ al- Fatawa, Dar al-Wafa’, Kahirah 2002, jilid 22, m.s 306-307) .

Antara bidaah yang lazim direka cipta oleh kelompok pertama adalah membuat ajaran-ajaran baru bagi “membetulkan” Islam, mengunggulkan dalil akal di atas dalil wahyu, mentakwil nas kepada maksud yang tercenderung oleh kehendak nafsu dan menjadikan Islam pengikut kepada suasana, jauh sekali daripada menjadikan Islam pemimpin kepada suasana. Berdasarkan manhaj di atas, kelompok pertama ini mencipta pelbagai doktrin baru tentang Islam yang jauh berbeza daripada apa yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Kelompok pertama ini sudah wujud sejak kurun-kurun awal Islam dan bergiat aktif sehinggalah ke hari ini. Nama gelaran mereka mungkin berbeza-beza tetapi manhajnya sama seperti mana yang disebut di atas.

Antara nama yang masyhur digunakan oleh kelompok pertama ini pada masa kini adalah Islam Modern, Islam Pembaharuan, Islam Bebas dan sebagainya, manakala nama yang masyhur di Nusantara adalah Islam Liberal. Walaupun dalam sebahagian negara, mereka tidak mengidentitikan diri sebagai aliran Islam Liberal, tetapi dari jaluran pemikiran (manhaj) yang diutarakan, identiti kontra mereka terhadap tafsiran ‘ulama silam tetap terserlah begitu juga dengan jalan sumber pengambilan hukum mereka.

KENAPA LAHIR ALIRAN ISLAM LIBERAL?

Sejak lebih kurang satu abad yang lepas terdapat dua fenomena yang banyak mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama adalah fenomena “penjajahan” oleh negara-negara barat ke atas hampir seluruh negara umat Islam. Kedua adalah fenomena “ketinggalan” daru sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara barat. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam boleh dibahagikan kepada empat:

Pertama, adalah mereka yang merasa putus asa secara keseluruhan dan duduk diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan memundurkan mereka.

Kedua, adalah mereka berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Justeru untuk menjadi umat yang berkuasa dan maju, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan harian. Formula pemisahan ini yang digelar sekularisme terbukti berkesan mengingatkan bahawa semua negara barat yang berkuasa lagi maju mempraktikkannya.

Ketiga, adalah mereka yang juga berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan faktor penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam dianggap berpunca daripada belenggu kejumudan umat dalam mentafsir dan mempraktikkan agama Islam. Kumpulan ketiga inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.

Kelompok Islam Liberal adalah aliran yang muncul kerana kesan psikologi kekerdilan diri (inferiority complex) yang dihadapi oleh sebahagian umat Islam hasil penjajahan dan kemunduran yang dihadapi oleh mereka.

Kelompok keempat, atau terakhir adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan dan kemunduran yang dialami umat. Namun hakikat ini tidak mereka mempersalahkan kepada agama atau selainnya kecuali terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam seluruhnya yang telah leka daripada berpegang dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu untuk kembali kuat dan maju umat Islam perlu mempelajari, memahami dan mempraktikkan semula secara sepenuhnya ajaran Islam yang asli lagi tulen.

Formula “Islam Sekular” atau “Islam Liberal” tidak menjadi pilihan kelompok keempat ini kerana ia bukan cara untuk mencapai kekuatan dan kejayaan yang sebenar. Kekuatan dan kejayaan yang sebenar hendaklah diukur dengan neraca wahyu Ilahi yakni Islam yang berteraskan alQuran dan alSunnah.

Nau'zubillahiminzalik

No comments: