March 16, 2011

solehah


Solehah.

Sepatah perkataan yang mudah disebut. Perkataan yang memberi maksud sesuatu yang paling baik diantara perhiasan-perhiasan dunia yang lain. Perkataan yang indah bilamana ia benar melambangkan maksudnya. Perkataan yang cantik bila ia dimiliki dengan sebenarnya oleh pemiliknya.

Namun solehah ternyata bukan mudah pada realiti kehidupan ini. Solehah itu bukan hanya boleh dinilai di penghujung perjalanan, namun sentiasa diberi nilai dalam setiap tahap-tahap kehidupan.


Mudahkah menjadi anak yang solehah? Bila balik bertemu ibu ayah sekali sekala , dua tiga hari di kampung, mempamer dan menonjolkan akhlak terbaik, mentaati tanpa jemu setiap permintaan ibu dan ayah. Tapi bila tinggal lebih lama, hati mula jemu, mula kurang sabar, suara tidak lagi rendah dan lunak – disuruh mula berdalih dan merasa berat, ditegur mula memberontak mempertahankan kesilapan...

Wahai anak, di manakah solehahmu pada ayah ibu yang terlalu banyak pengorbanan dilakukan untukmu?

Mudahkan menjadi gadis yang solehah? Di akhir zaman yang mendatangkan fashion yang menampakkan keindahan berharga seorang perempuan, mampukah menepis nafsu yang sering ingin cantik di pandangan awam,,, Membiarkan diri dan tubuh dijamah pandangan lelaki murahan kerana tipis dan pendeknya pakaian...?

Dengan akhir zaman yang membuka seluas-luasnya ruang perhubungan lelaki dan perempuan, dengan ransangan filem-filem, lagu-lagu dan bahan bacaan yang menghidup kan rasa cinta hingga menyala-nyala dalam dada, mudahkah untuk menepis kedatangan SMS, call, chatting YM, Facebook, email etc yang bertalu-talu dari lelaki yang 'soleh' dan tak soleh?

Awalnya mungkin mudah, dengan prinsip cinta hanya untuk suami dan isteri, tapi jika konsistennya SMS yang caring lagi prihatin hingga menghidupkan warna merah muda dalam hati, mampukah lagi menolak? Mampukah lagi mengelak dari serangan-serangan perasaan ‘fitrah’ yang ingin disayangi dan menyayangi, lebih-lebih lagi teman-teman disekeling juga tidak lagi sendiri ?

Mudahkah menjadi solehah, jika pergaulan yang dirasakan sederhana mengundang curiga dimata masyarakat? Mengundang cemburu di hati si isteri-isteri? Mengundang fitnah di hati yang berlainan jenis?

Mudahkah menjadi isteri solehah? Di awal mahligai cinta dibina dalam pernikahan, waktu kasih membara, solehah itu seolah pasti terjadi, ada ketaatan sebelum dipinta, ada layanan kelas pertama, ada pengorbanan yang tidak terasa, ada kelembutan yang mempesona, diri terhias tersembunyi dan nyata..

Namun, bila masa berlalu memaparkan suami sebagai insan biasa-biasa punya banyak alpa, yang terus zahir pada suami adalah terlalu banyak keburukan dan kelemahan. Hingga tidak merasa perlu mentaati dirinya yang dulu pernah paling ditaati, hingga acuh tak acuh pada suami yang dulu mendapat cinta kelas pertama, hingga tidak mampu melihat apatah lagi mensyukuri pemberian suami pada keluarga.

Pudar kasih, luput sayang, yang ada hanya lah hati yang luka berbisa. Tiada penghormatan, tiada penghargaan, yang ada hanya ungkitan kesilapan pasangan . Tiada kesyukuran, tiada keredaan hingga diri memikirkan untuk meruntuhkan, melarikan diri dari perjanjian dan ikatan yang dibuat atas nama ALLAH…

Dimanakah solehah? Waktu belum dituntut menjadi pasangan, di luar ikatan mampu menjadi solehah memenuhi segala permintaanya, memohon maaf penuh perasaaan atas kesilapan padanya, mengasihinya sepenuh jiwa raga, tidak mahu melukai hanya ingin mencintai… merasa hebatnya aura sayang dua jiwa dipenuhi kata-kata sopan lagi manja…namun bila ikatan pernikahan yang benar-benar menuntut soleh dan solehah,.. terus sirna, kesopanan dan kelembutan hilang ditelan kejemuan… solehah, dimanakah solehah…?

Solehah…bagaimanakah untuk solehah..? Bagaimanakah untuk terus solehah selepas diri jauh meninggalkan solehah…? Bagaimanakah untuk tetap solehah diwaktu tidak lagi ingin solehah?

Bagaimana bertahan untuk solehah sewaktu sukarnya ingin menjadikan diri solehah?

Sukarnya solehah…sewaktu masih sendiri, terasa sukar menjaga kesucian diri dan hati.. kerana diluar sana tarikan untuk memudarkan solehah terlalu tinggi,… dan sewaktu sudah bersuami, mungkin lebih sukar kerana ada pula hati suami untuk ditaati , dijagai agar tidak tercalar, sedangkan hati dan iman sendiri masih terkontang kanting kering nur rabbani…

Solehah itu anugerah ilahi. Mahal harganya, Tak terhitung nilai kepayahannya, Kerana syurga balasannya.

Ya ALLAh ajari aku untuk solehah dalam menghadapi ujian-ujian dariMU, uJian kesenangan atau kesusahan.

Bantulah aku untuk memilih solehah dari yang lainnya dalam keadaan sukar atau mudah. Bantulah diri hambaMU ini agar mampu ku mentaatiMu, yang dengan nya menjadikan aku mampu mentaati ibubapaku dan sesiapapun yang perlu ku taati.

Bantu lah aku memenunaikan segala suruhanMu agar mampu ku tunai hak-hak sahabat dan saudaraku ingin ku cintaiNYA keranaMU.. Bantu lah diriku menjauhi segala laranganMu agar ENGKAU memberikan jalan keluar atas segala urusanku.. Bantu lah aku ya ALLAH, dengan rahmat da kasih sayangMU perbaiki lah urusan ku dan jangan biarkan ku membuat keputusan sendiri walau sekelip mata.

Bantulah diriku untuk memilih solehah walau memilih solehah terasa letih, sakit dan sukar bagi diriku, namun izinkan diriku bertemu asiah, maryam, khadijah dan fatimah di dunia sana yang berkekalan...

*satu lg post sewaktu tgh berusaha untuk siapkan pembentangan hasil
*artikel ini diambil slps analisa result projek xdpt buat..[mode:sabar]
*artikel ini dicopy dari blog isteri ustaz hafiz firdaus..
*maaf mmg xpandai utk menulis sgt..hanya pndai membaca dan m'copy
*solehah itu subjektif....put it in broad spectrum

No comments: