October 27, 2009

Gerakan Dakwah, Albanna dan Mahasiswa


Assalammualaikum...satu lagi entry semasa revision exam....

Dalam salah satu tulisannya atau mungkin dalam suatu ucapannya, Imam Hasan al-Banna telah menyebutkan yang berbunyi lebih kurang: "Ketika aku sedang disakiti oleh kaum tua, aku telah dibantu oleh kaum muda ..."

Ini disebutkan tokoh itu demi membuktikan keprihatinan beliau terhadap golongan muda terpelajar, iaitu kaum mahasiswa. Malah, Hasan al-Banna telahpun membuat suatu pertemuan besar-besaran bersama mahasiswa dalam suatu muktamarnya.

Hasan al-Banna mengeluarkan suatu rumusan berhubung dua jenis pemuda dalam sebuah ucapannya. Pertama, pemuda yang dilahirkan dalam negara yang huru-hara dan keduanya anak muda yang lahir dalam negara yang senang dan aman.

Dalam konteks negara kita misalnya, mahasiswa yang lahir sekitar 1950-an hingga 70-an adalah golongan yang telah melalui era penjajahan dan mereka bangkit sebagai pimpinan setelah berhasil menempuh ranjau hidup yang panjang. Mereka melawan British dan Jepun.

Sebaliknya, mahasiswa yang lahir selepas tempoh tersebut kurang menyerlah kepimpinan mereka. Adalah tidak adil jika disebutkan mereka tidak punya upaya memimpin. Namun, yang lebih tepat ialah, kepimpinan yang tidak cukup kuat untuk menggalas perubahan.

Ini kerana, mereka yang biasa hidup susah biasanya akal mereka lebih kreatif dan matang lebih cepat berbanding pemuda yang lahir di dalam negara yang aman, demikian menurut Hasan al-Banna.

Prihatin dengan mahasiswa

Saya tak ingat hal ini dengan begitu tajam lantaran kurang rujukan. Tapi bagaimanapun, hal ini cukup membuktikan al-Banna amat prihatin dengan mahasiswa.

Ini kerana, mahasiswa adalah aset masa depan. Kalau kita boleh menyebut hal ini sebagai "sunnah" dalam madrasah pendidikan yang ditemui dalam segudang pemikiran Hasan al-Banna, maka sudah tentulah pimpinan Islam wajib mengikuti "sunnah" al-Banna ini.

Al-Banna bukannya nabi dan rasul yang boleh diiktirafkan perlakuannya sebagai sunnah. Tapi, dalam perbincangan ini, saya sebutkan juga sebagai "sunnah" bagi memudahkan hal perbualan. Ini kerana, sistem tarbiyah al-Banna digunakan oleh "gerila" setelah khilafah berkubur. "Gerila" muncul dalam bentuk usrah yang meledakkan ilmu, meletuskan iman.

Gerakan Ikhwan Muslimin ini bermula dari Mesir. Mungkin pancaran dakwah jenis ini telah bersinar ke Ismailiyah, Iskandariyah dengan pesatnya dan tempias cahayanya turut tumpah menyinggah di Universiti al-Azhar, tempat para mahasiswa sedunia berhimpun.

Silibus dan kurikulum dakwah al-Banna inilah yang telah dipunggah masuk dalam sistem dakwah jemaah-jemaah Islam di Malaysia pada hari ini. Jikalau mahu dibuat perumpaan, tidak keterlaluan jika dinisbahkan beliau sebagai bapa kepada urusan dakwah di abad ini seperti Nabi Ibrahim a.s yang diangkat sebagai bapa segala nabi.

Sekali lagi, bagi mengelakkan kekeliruan dan silap faham-al-Banna bukan nabi dan rasul. Sistem tarbiyyah yang disusunnya seperti usrah, bukannya "sunnah" yang diikuti oleh kalangan aktivis dakwah Islam sekarang ini. Semua ini cuma analogi perumpaan sahaja.

Namun, kiasan ini cuma dibangkitkan bagi menyedarkan kita terhadap suatu persoalan - sejauhmanakah kita telah mengikuti sunnah al-Banna ini? Adakah kita mengikuti sunnah beliau dalam membantu mahasiswa?

Sistem tarbiyyah seperti usrah di universiti tidak hidup sekiranya idea-idea itu tidak diulang cetak oleh mahasiswa al-Azhar ke negara masing-masing. Usrah di universiti yang biasanya menetaskan kepimpinan jemaah, bukannya usrah-usrah desa.

Ertinya, mahasiswa yang paling ramai memainkan fungsinya guna menghidupkan pergerakan Islam dalam politik hari ini.

Inilah jasa buah pemikiran al-Banna di mana mahasiswa adalah mesin atau jenteranya.

Al-Banna amat bijak di dalam hal ini. Apabila beliau "menggunakan" mahasiswa sebagai jentera dakwah, maka beliau akan berusaha memperbaiki semangat dan jiwa pendakwah muda agar terus mantap. Permasalahan anak muda jadi keutamaan beliau.

Jika Hasan al-Banna masih hidup pada saat ini, nescaya beliaulah antara orang yang amat prihatin dan terkesan dengan realiti kampus kita. Mungkin akan wujud muktamar khas bagi mereka. Ingatlah, situasi kampus dahulu berbeza dengan sekarang. Perbezaan ini tentu sekali menuntut perbezaan pendekatan dalam perjuangan.

*****************************************************************************

Artikel ini ana edit dari harakah daily.net "Konflik kampus: Jika Hassan al-Banna masih hidup" oleh Ali Bukhari Amir. artikel ini bukanlah bertujuan apa-apa. Tetapi untuk sama-sama kita berfikir semula tentang penggerak dakwah kampus. Sejauh mana peranan dan kepentingannya dan bagaimana mahasiswa mencorakkannya. sedikit sebanyak ana bersetuju dengan pandangan penulis tentang perbezaan mahasiswa dulu dan kini. Perlunya resepi yang berbeza dengan dahulunya bagi melahirkan mahasiswa seperti kata Hasan Albanna; jentera dakwah dan aset masa depan . Kampus ibarat negara kecil di bawah pentadbiran kabinet mahasiswa dan mahasiswa adalah rakyatnya. Penggerak dakwah perlu wujud agar negara kecil ini dikemudi di atas landasannya dan melahirkan negarawan tarbiyah dikalangan rakyat-rakyatnya. Di sinilah titik mula atau asas agar melahirkan bi'ah solehah di tempat tinggal mahasiswa itu sendiri..

wallahu'alam...sekadar cetusan pemikiran..



No comments: