December 13, 2008

Mahasiswa malas?

Pelajar kita malas, kata penyokong kerajaan

KUALA LUMPUR - Seorang penyokong kerajaan semalam mendedahkan bahawa pelajar terutamanya di institusi pengajian tinggi kini lemah minda bukan kerana berpolitik tetapi kerana malas belajar.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata, pelajar di universiti bukan sahaja tidak membaca buku dan hanya bergantung kepada nota dari pensyarah, malah malas untuk membuat rujukan dan malas pula membaca buku dalam bahasa Inggeris.

“Ini kerana susah, pening kepala. Pergi periksa hanya berdasarkan nota pensyarah, tutorial. Ke mana ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat pelajar kita?” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti 2008 di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, masyarakat negara ini perlu menukar sikap daripada hanya menjadi pengguna kepada menjadi pengeluar.

Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali (Pas-Titiwangsa) semasa meminta penjelasan berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Tajuddin yang menyatakan pelajar malas seolah-olah merendahkan taraf mereka dan sama ada pelajar di luar negara lebih tinggi tarafnya sehinggakan mereka boleh menyertai Kelab UMNO.

Tajuddin berkata, beliau sebagai orang tua hanya memberi nasihat dan sekiranya masyarakat pelajar perlu ditegur mereka perlu ditegur dan bukan mempunyai niat tidak baik.

“Ramai yang saya temu duga, walaupun dengan memiliki ijazah sarjana mereka kurang pengetahuan am kerana mereka kurang membaca. Perkara yang perlu diperbaiki perlu diperbaiki,” katanya.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, pindaan AUKU pula akan dapat memperbaiki tadbir urus universiti dan pendidikan tinggi secara holistik.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak seharusnya memadamkan api idealisme dalam tempoh singkat pelajar di universiti kerana pada masa itu berlaku lambakan idea dan maklumat yang membawa kepada ledakan fikiran dan idea-idea baru.

Ahmad juga mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi membuat kajian ilmiah sama ada benar pelajar yang terbabit dengan politik mempunyai pencapaian akademik merosot.
(sinar harian)

p/s:assalammualaikum...sengaja ana letakkan artikel ini utk kita sbg mahasiswa berfikir..benarkah kenyataan ini.. atau hanya sangkaan semata-mata..tepuk dada tanya iman..
Waallahua'lam

No comments: