December 13, 2008

Salju Sakinah



Sinopsis

NOVEL Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah siswi tahun akhir Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

Sumayyah, 25 tahun berhadapan pelbagai rona ujian yang mencabar kematangannya dan wibawanya sebagai pelajar jurusan Syariah di universiti Timur Tengah.

Novel ini mengambil dua latar tempat iaitu Jordan dan Malaysia. Juga dua latar waktu iaitu ketika Sumayah menghabiskan semester terakhirnya dan ketika dia berada di kampungnya, di Senggarang, Batu Pahat.

Walaupun watak Sumayyah menjadi sudut pandangan utama di dalam novel ini, tetapi persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik, sosial dan ilmu turut disentuh di dalamnya. Lantaran, sewaktu di Jordan, Sumayyah amat intim dengan isu Palestin, Iraq dan dunia Islam sekitarnya disebabkan pergaulannya dengan pelajar-pelajar Arab yang tinggal berjiran dengannya. Sedaya mungkin Sumayyah cuba membantu teman-temannya yang menghadapi kesan dan tekanan perang.

Selain itu, novel ini juga tidak melupakan aspek sosial dengan mengenengahkan isu sumbang mahram, hasad dengki, fitnah -memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat. Sumayyah berhadapan dengan fitnah daripada jirannya dan akhirnya berjaya membongkar kes sumbang mahram yang dialami jirannya itu.

Bahkan, ia juga mengupas aspek ekonomi orang Islam dengan perusahaan kerepek yang diwarisi Sumayyah daripada ayahnya. Industri desa yang popular di Batu Pahat ini menjadi latar utama novel ini sepanjang watak Sumayyah berada di kampungnya.

Novel ini berlangsung selama kira-kira sembilan bulan. Bermula pada musim panas pertengahan Mei dan berakhir pada musim sejuk akhir Januari tahun berikutnya. Ia dimulakan dengan kejutan-kejutan di luar duga dalam diri Sumayyah di penghujung pengajiannya: Hubungannya dengan Afnan, siswa Universiti al-Azhar terputus, beberapa masalah persatuan pelajar, malah turut berkongsi derita dengan pelajar-pelajar Palestin.

Seminggu selepas peperiksaan akhirnya pada awal Jun, tanpa menunggu keputusan rasminya keluar, Sumayyah terbang pulang ke Malaysia. Apabila tiba di rumah, dia terkejut apabila mendapati ayahnya baru sahaja meninggal dunia sepuluh hari yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Berita duka itu sengaja dirahsiakan keluarganya memandangkan peperiksaan akhir yang sedang dijalaninya.

Di kampungnya di Senggarang, Batu Pahat, Sumayyah meneruskan usaha ayahnya membangunkan kilang kerepek bersama ibunya dan Muazam, pembantu ayahnya. Pelbagai cabaran dihadapi oleh Sumayyah dalam meneruskan industri yang makin berkembang, namun dia mendapat sokongan kuat daripada Muazam, pemilik Diploma Pengajian Perniagaan. Kerjasama ini menguatkan hubungan mereka yang direstui ibunya.

Di samping itu, Sumayyah tidak lupa menumpahkan khidmat ilmu kepada masyarakat dengan aktif memberi kuliah agama, menjadi tempat rujuk masyarakat dan terlibat dengan pergerakan wanita di kampungnya bersama bekas gurunya, Ustazah Samihah. Program Yaasin dan tazkirah dari rumah ke rumah yang sebelumnya mati dihidupkannya semula.

Namun, dia diuji apabila jiran sebelah rumahnya yang baru bersuami muda mula memfitnahnya. Lebih memeritkan, kakak dan abang iparnya sendiri terpengaruh dengan ajaran sesat.

Bagaimanapun pada pertengahan September, Sumayyah menerima kejutan yang sangat mencabar keimanannya apabila menerima panggilan telefon dari Jordan. Dia diberitakan gagal salah satu kertas yang diambilnya pada semester terakhir apabila slip sebenar keputusan rasmi dikeluarkan pihak senat universiti ? walhal sebelumnya dia telah diberitakan lulus berdasarkan keputusan tidak rasmi yang ditampal oleh pensyarah. Maknanya, dia masih belum bergelar graduan.

Dia malu amat, sukar untuk menerima kenyataan. Tetapi terpaksa juga secara senyap-senyap kembali ke Jordan pada awal Oktober untuk meneruskan satu subjek yang masih tersangkut setelah didesak oleh ibunya yang baru sedikit pulih daripada serangan kencing manis. Urusan kilang diserahkan kepada Muazam.

Walaupun terasa sangat malu, namun ditabahkan hatinya berhadapan dengan teman-teman. Peluang keduanya belajar di Jordan dihabiskan dengan ?menadah? kitab dengan ulama dan para pensyarah. Namun kesedihan itu terubat kerana dia dilamar oleh Naufal, pelajar sarjana yang selama ini meminatinya secara diam-diam.

Pada akhirnya, salji yang lebat turun menduga kesabarannya apabila suami yang dinanti tidak pulang kerana terperangkap dalam ribut salji di Amman. Walau bagaimanapun novel ini masih diakhiri dengan kejutan di luar jangka yang positif.

Selebihnya, novel ini menawarkan nilai-nilai murni yang wajar diteladani pembaca. Justeru sebagai sebuah novel Islamik, sirah Rasulullah, kisah para Nabi dan sahabat turut dititipkan kepada pembaca sebagai peringatan; tanpa melupakan firman Tuhan dan hadis Nabi yang diselitkan juga sebagai panduan. Insya-Allah.

p/s:buku ini sudah lama berada di pasaran. tapi boleh juga didapati di http://www.ujanailmu.com.my/

No comments: