December 20, 2011

Jumpa nabi?.

Bagaimana mahu jumpa nabi dalam mimpi?
Saya belum lagi berpeluang dapat nikmat ini. Jumpa Nabi yang tercinta.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya Syaitan tidak mampu menjelma rupaku.” (HR Muslim)
Ikuti jawapan Sheikh Muhammad Hassan (semoga ALLAH memelihara beliau) apabila ditanya soalan yang ini.
Pada suatu hari, seorang pelajar datang bertemu tuan gurunya kerana ingin bertanya suatu soalan yang sangat penting.

“Wahai tuan guru, tolonglah ajarkan kepada saya tentang caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi saya” Tanya pelajar itu kepada tuan gurunya.
“Engkau mahu melihat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpimu?” Tuan guru bertanya semula.
“Ya, wahai tuan guru” Jawab pelajar tersebut dengan sungguh-sungguh.
“Jika begitu. Marilah datang ke rumah saya malam ini. Kita makan malam sama-sama ya…” Jemput tuan guru kepada pelajarnya yang bertanya itu.
“Apa? Ma Sya ALLAH, ini sudah bagus, rezeki” Pelajar tersebut terkejut dan gembira dengan pelawaan tuan gurunya itu.

Lalu pada malamnya si pelajar itu datang ke rumah tuan gurunya untuk mendapatkan jawapan yang ditanya itu, iaitu bagaimana untuk berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Beliau sangat mengharapkan tuan gurunya yang alim dan murobbi itu dapat memberikannya jawapan.
Tuan guru menjemput pelajar itu makan makanan yang dihidangkan. Tetapi makanan yang disediakan itu sengaja dilebihkan garam dan beliau tidak pula menyediakan air untuk pelajar tersebut minum.
“Boleh saya minta air? Saya dahaga, wahai tuan guru” Pinta pelajar tersebut yang berasa haus disebabkan oleh kemasinan makanan yang disediakan.
“Oh tidak, air tidak dibenarkan” Jawab tuan guru.
“Tetapi tuan guru, saya berasa sangat dahaga.” Pelajar itu memberitahu keadaannya yang sedang mengalami kehausan.
“Tidak, air tidak dibenarkan. Makan sahajalah” Tuan guru bertegas lalu memintanya teruskan makan.
“Baiklah tuan guru.” Pelajar tersebut akur.
Setelah selesai makanan, pelajar itu pun meminta agar jawapannya dijawab oleh tuan gurunya.
“Tuan guru, mengenai soalan saya siang tadi. Boleh tuan guru ajarkan kepada saya bagaimana untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Pelajar itu bertanya.
“Oh, tidak. Bukan sekarang. Saya tidak akan ajar kamu tentang itu sekarang.” Jelas tuan gurunya dengan lembut.
“Habis tu, bila wahai tuan guru?” Tanya pelajar itu dengan nada sedikit kecewa.
“Tidurlah sekarang. Nanti sebelum Subuh, insyaALLAH saya akan tunjukkan kepada kamu bagaimana caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Jawab tuan gurunya sambil memujuk.
Pelajar itu pun lalu tidur dengan harapan Subuh nanti beliau akan memperolehi suatu pelajaran yang sangat beliau nantikan. Beliau benar-benar ingin bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, tetapi tidak tahu caranya.
“Wahai anakku, marilah ke sini…” Tuan guru memanggil pelajarnya setelah mereka sama-sama bangun sebelum Subuh.
“Ajarlah saya wahai tuan guru tentang bagaimana untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi!” Pelajar tersebut tanpa bersabar terus meminta agar diajarkan beliau dengan suatu ilmu yang besar itu.
“Nanti dulu. Sebelum itu saya ingin bertanya adakah kamu melihat apa-apa malam tadi di dalam mimpi kamu?” Tanya tuan guru dengan wajah yang manis.
“Ya, ada.” Jawab pelajar tersebut ringkas.
“Apa yang kamu lihat?” Tanya tuan guru lagi.
“Wahai tuan guru, saya telah melihat hujan yang lebat turun dari langit, sungai mengalir dan laut berombak pula berada di hadapan saya” Pelajar itu menjelaskan apa yang beliau lihat di dalam mimpinya. Ternyata beliau sangat senang sekali dengan apa yang dilihatnya.
“Benarlah wahai anakku. Engkau telah bercakap benar. Engkau telah bercakap benar. Dan engkau juga mempunyai niat yang benar. Maka sebab itulah mimpi engkau juga benar.” Tuan guru lalu memberikan respon terhadap jawapan pelajarnya itu.
“Dan jika cintamu benar terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka engkau akan dapat melihat Baginda di dalam mimpi sebagaimana benar dan kuatnya perasaanmu terhadap air tadi.” Tuan guru menyambung lagi.

Bukan mudah nak berjumpa Nabi apabila kita juga belum benar-benar cinta baginda dan amalkan sunnahnya.
Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad.
Bacaan lanjut disini :- bagaimana mahu berjumpa nabi.

2 comments:

Shahmuzir said...

Jazakillahu khairan. Semoga kita sama2 dapat memantapkan "mahabbah wa ittiba` iaitu rasa cinta dan ikut sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

PEKAN GUEST HOUSE said...

alhamdulillah